Monday, 29 April 2013

Merobohkan Tembok Itu


Kampung Raja, Pagoh dahulunya merupakan black area di era komunis. Tidak jauh dari rumah aku tersergam menara kawalan setinggi banggunan 3 tingkat yang di gunakan ketika darurat dahulu.

Seingat aku menara itu masih di situ sehinggalah pertengahan tahun 80an, bila ia di robohkan untuk mengubahsuai sekolah cina di mana menara itu termasuk di dalam kawasnanya. Agak sedikit janggal dengan ketiadaan menara itu, mungkin ia telah sekian lama berada di situ dan agak sebati dengan suatu yang aku selalu lihat. Masa itu aku mungkin tidak pernah terfikir untuk meninggalkan kampung. Menara itu selalu mengingatkan aku tentang cerita-cerita kekejaman komunis yang aku dengar, pada masa itu.



Berhampiran dengan sekolah Cina ini merupakan sederatan rumah yang didiamai oleh masyarakat Cina kampung aku. Bolehlah dikatakan pekan kecil Kampung Raja.

 
Arwah abah merupakan orang yang agak rapat dengan masyarakat Cina di situ, disebabkan dia boleh berbahasa Cina dengan fasih. Dia juga boleh membaca akhbar Cina, sekurang-kurangnya itulah anggapan aku sebab aku pun tidak memahami apa yang abah cakapkan.

Aku masih ingat aku sering minum di kedai minum Ah Tong di hujung deretan kedai itu. Teh Hainannya, roti bakar yang dibakar menggunakan arang dan kaya buatan sendiri memang akan sentiasa menjadi nostalgia. Sehingga sekarang aku akan sering menikmati hidangan di kedai-kedai minum Cina sebegini, cuma untuk mengutip sedikit kenangan.

Kadang-kadang kami akan bermain badminton bersama mereka dan mereka pun bermain bola bersama kami. Dan aku tidak nampak ada masalah dengan perhubunga di antara kaum ini.

Tetapi sebenarnya ada banyak jurang yang memisahkan antara kaum Melayu dan Cina di kampung aku. Sentiasa ada sikap prasangka buruk sebenarnya. Aku rasa mereka pun mempunyai prasangka yang serupa terhadap orang-orang Melayu.

Terus terang aku katakan, masa itu aku akan selalu menganggap masyarakat Cina adalah komunis. Boleh dikatakan masyarakat cina ini sudah sinonim dengan pertubuhan itu. Mereka sentiasa aku anggap sebagai kaum pendatang. Dan aku rasa aku tidak kesorangan dengan prasangka begitu. Walaupun setelah meninggalkan kampung, aku masih dengan pemahaman itu.

Dari zaman persekolah sehingglah ke alam universiti, sepanjang yang aku ingat semangat Melayu ini sering ditanamkan, kononnya untuk kelangsungan hidup bangsa melayu. Bahawa bangsa lain akan menindas bangsa Melayu, yang kita mesti bersatu. 13 Mei merupakan satu yang sepatutnya di takuti. Bercakap tentang dididik dengan doktrin yang salah.

Berkahwin dengan wanita yang mempunyai darah keturunan Cina selama 17 tahun membuatkan aku memikirkan kembali, dari manakah datangnya prasangka aku. Selama itulah saban tahun kami akan menziarahi keluarga di sebelah emak mertua aku ketika Tahun baru Cina disebabkan masih ramai lagi saudara-maranya yang tinggal berdekatan. Ada antara anak-anak mereka yang berkahwin dengan pasangan melayu dna memeluk Islam. Berbual dengan bahasa melayu yang baik. Ada antaranya yang menjadi guru bahasa melayu di sekolah.

Kadang-kadag aku terfikir, apa yang aku tahu, aku mempunyai darah keturunan Bugis dan Arab. Isteri aku pula dari keturunan Kerinchi dan Cina. Ini menjadikan anak-anak aku bangsa apa?

Entah kenapa aku mengambil masa yang agak lama untuk sedar yang tidak ada ada satu bangsa pun yang lebih baik dari bangsa yang lain. Tidak ada warna kulit yang lebih baih dari warna kulit yang yang lain. Allah jadikan kita berbilang bangsa supaya kita berkenal sesama kita. Akhirnya, siapa yang lebih bertaqwa yang menjadi ukuran.

Kita lupa sebenarnya bumi ini bukan milik sesiapa pun. Tidak ada sesiapa pun yang lebih berhak selain dari DIA.

Aku ingin hidup di sebuah tempat yang tidak perlu aku di takutkan dengan bangsa dan warna kulit.
Bagaimanakah untuk kita terus hidup bersama jika sikap prasangka sentiasa ada di dalam hati kita?. Kalau kita gagal memahai tentang ini sekarang, kita tidak akan faham sampai bila-bila.

Aku rasa merobohkan menara itu, bukanlah satu langkah tidak bijak.

No comments:

Post a Comment