Tuesday 16 April 2013

Ditipu Bertahun-tahun

Sudah bertahun-tahun Pak Berahim dan Pak Hasan berbelanja di koperasi milik syarikat Keris Bersilang di kampungnya. Di situlah tempat mereka bergantung harap selama ini. Tidak ada lagi yang lain, selain Keris Bersilang ini. Hidup mati mereka memang di situ, selamanya.

Tiba-tiba khabar-khabar angin bertiup kencang tentang kemunculan syarikat Mata Bulan Menaiki Roket yang di tubuhkan oleh Nuar dengan harga yang jauh lebih rendah dari yang ditawarkan oleh syarikat Keris Bersilang. Tak senang duduklah kedua-dua anak Pak Ali mendengarkan khabar-khabar angin itu.
 
Dipendekkan cerita, khabar-khabar angin itu sememangnya berita yang sahih. Maka ke hulu ke hilirlah kedua-duanya ke seluruh pelusuk kampung mencanangkan kepada semua penduduk bahawa syarikat Mata Bulan Menaiki Roket itu akan memecahbelahkan seluruh kampung. Bahawa harga murah yang ditawarkan itu akan melingkupkan seluruh kampung.
 

Tapi bagi penduduk-penduduk yang masih ada saki baki akal yang waras, kalau barang yang sama ditawarkan pada harga yang lebih murah, gila apakah mereka terus membeli dari syarikat Keris bersilang itu?. Jadi berduyun-duyun lah penduduk berbelanja di syarikat Mata Bulan Menaiki Roket itu.
 
Melihatkan semua penduduk berduyun ke berbelanja di syarikat Mata Bulan Menaiki Roket, maka syarikat Keris Bersilang pun menurunkan harga yang sama mengikut harga yang ditawarkan syarikat Mata Bulan Menaiki Roket. Maka ke hulu ke hilir lah pula kedua-dua anak pak Ali mencanangkan kepada penduduk kampung betapa bagusnya syarikat Keris Bersilang. Mereka berdua langsung tak terfikir walau sejenak bahawa telah bertahun-tahun syarikat Keris Bersilang menipu mereka..
 
Ada sesuatu yang tak kena dengan anak-anak Pak Ali ini.

No comments:

Post a Comment